TIPS PENJIMATAN AIR KETIKA CATUAN

Sewaktu catuan air dijalankan, adalah penting bagi kita untuk tidak bersikap mementingkan diri sendiri. Cuba untuk tidak membazirkan air termasuk pada hari-hari biasa. Sesungguhnya, air adalah sesuatu yang amat berharga dalam kehidupan harian kita. Kita mungkin boleh hidup tanpa bekalan elektrik, namun ketiadaan air memungkinkan kita terhidrasi dengan teruk seandainya dibiarkan begitu sahaja.

Saya kongsikan sedikit tips penjimatan air ketika catuan air dilaksanakan sehingga penghujung Mac ini.

1. Tutup pili air ketika sedang memberus gigi. Jangan biarkan air mengalir tanpa digunakan.

2. Belajar mandi menggunakan satu baldi kecil air sahaja. Ambil air dan sapu seluruh badan. Seterusnya, gunakan jumlah sabun yang minima supaya tidak memerlukan air yang banyak untuk membilas. Bilas badan dengan air yang diambil dengan tangan, gosok badan bagi menghilangkan sabun. Akhir sekali, bilas atau jirus badan dari kepala ke kaki dengan menggunakan baki air dalam baldi tadi.

3. Jangan buang air basuhan beras anda! Gunakan air tersebut untuk membasuh ikan atau ayam. Air basuhan ikan atau ayam tadi itu boleh pula dijadikan air siraman pokok dan tanaman. Lihat, satu besen air sahaja namun pelbagai kegunaan boleh dibuat sekiranya kita bijak menggunakannya.

4. Kumpul pinggan mangkuk dan cawan, basuh pada masa yang sama dengan menggunakan besen air  (sama kaedah ketika kenduri)

5. Tadah air hujan untuk kegunaan bukan makanan. Sekiranya anda mempunyai ruang di rumah, buatkan satu kawasan tadahan untuk air hujan. Gunakan air tadahan tersebut untuk membasuh kereta, menyiram pokok dan sebagainya. Tetapi JANGAN pula gunakan air ini untuk memasak atau diminum. 

Air suatu sumber penting dalam kehidupan kita. Tak kira ketika kemarau ataupun tidak, wajarlah kita untuk mengelakkan pembaziran dalam kegunaan harian. 

Gunakan air dengan bijak!

CONVERSATION

0 comments: