RESIPI RENDANG DENDENG

Semenjak jadi Work-At-Home-Mom atau WAHM, mood masak-memasak terlebih pula..
Rendang Dendeng ini memang biasa saya masak dan biasa tolong mak masak sejak tadika kot!
Cuma kebelakangan ini mak pun dah tak larat nak masak sangat, maka setiap kali menjelang puasa dan raya, saya pula yang ambil alih tugas memasak Rendang Dendeng yang dah jadi macam kewajipan sebagai menu Hari Raya.

Bila datang kerajinan tahap melampau, dan diberi masa yang mencukupi, kebiasaannya saya ambil tempahan daripada sanak saudara. Semenjak dah ada 3 budak kecik ni, saya terpaksa hadkan tempahan, takut nanti ada yang sama-sama tolong tumbuk daging pula.

Sebelum ni, resipi ni saya dah pernah kongsikan dalam blog personal saya. Klik sini
Setiap kali nak raya, mesti resipi Rendang Dendeng mama saya yang mudah, ringkas dan sedap ni jadi rebutan. Untuk semalam je, dekat 2000 viewers untuk resepi ni.
(Mood kembang kuncup hidung la ni)
Tapi resipi tu sudah saya olah dan buat pembaikan setiap kali saya buat cubaan memasak.
Di bawah ini saya sertakan resipi Rendang Dendeng yang telah saya buat malam tadi.

Resipi Rendang Dendeng Sedap

Bahan-bahan

Daging - 1 kilo
Bawang Besar - ½ kilo (dikisar), kalau tak suka banyak kuah boleh kurangkan sukatan bawang
Homemade Cili Boh - 100 gm (anggaran 3-4 senduk)
Minyak - 4-5 senduk
Asam Keping - 2~3 keping (mengikut darjah kemasaman asam tersebut)
Serai - 2~3 btg
Halia 2-3 inci (ketuk, tumbuk atau hiris, ikut suka korang)
Garam
Gula
Kicap manis atau lemak (saya guna Kicap Tamin Dark Soy Sauce)
Air rebusan daging (anggaran 2-3 cawan)

Daging

1. Rebus daging sampai empuk. Simpan air daging
2. Hiris daging lawan urat (lebih kurang saiz 1”x1.5”)
3. Tumbuk sekeping-sekeping daging yang dah dihiris
4. Perap daging yang ditumbuk dengan kicap  
5. Goreng daging tersebut dengan api sederhana kuat

Tumis

1. Panaskan minyak, tumis bawang dan cili sehingga pecah minyak
2. Masukkan serai yang dititik, halia, asam keping, air daging
3. Masukkan daging (jangan masuk air lebihan kicap yang diperap-nanti warna tak cantik)
4. Masukkan Garam dan Gula secukup rasa
5. Sedia untuk dihidang.
*Awas! Tumisan akan melompat-lompat keluar dan sangat panas. Jauhi dari kanak-kanak kecil.
Saya guna kuali Supor, siap dengan penutup. Untuk elak tumisan melompat-lompat, saya tutup dan guna api kecil.
Selamat memasak!
Rendang Dendeng ini sedap dimakan dengan nasi, pulut, lemang, ketupat, roti atau ratah pun boleh.

 

Tips dan Petua

Mama selalu pesan, jangan membazir. 
Apa yang mama ajar, biasanya cawan pengisar yang bersisa cili dan bawang tu letakkan sedikit. Goncang dan tuang waktu menumis.
Lagi satu, lepas keluarkan dari kuali, ambil sesenduk nasi dan gaulkan dengan baki sambal dalam kuali dan hidangkan.
Nasi ni selalunya jadi rebutan kami adik-beradik sebab sedap sangat-sangat. Saya pun praktikkan kaedah ini kalau memasak sambal tumis ikan bilis, pasti terangkat!


Panduan untuk ibu bekerjaya; 
1. Masak dalam kuantiti yang banyak, masukkan dalam bekas-bekas kecil, sejuk bekukan. Kukus atau panaskan semula bila hendak makan.
2. Masak sambal lebih dan sejuk bekukan. Beli daging, rebus, hiris, tumbuk, perap dan goreng kemudian campurkan sambal tadi dan masak sebentar.
*saya gandakan jumlah sambal semalam, dan dapat 3 bekas untuk bekalan bulan puasa nanti. Saya jimat masa dan tenaga di dapur walaupun terpaksa mengadap kuali lama sedikit semalam.

Tahukah anda, Rendang Dendeng yang dibiarkan empuk (semalaman) lebih sedap rasanya!

Ok, saya nak makan Rendang Dendeng ni!
Harap-harap tak habis sebuku roti kena makan dengan saya nanti. Sebelum makan nak bancuh ESP dulu, setidaknya dah rasa kenyang sikit. Tapi tak apa, sebab saya ambil Omega, Alfalfa dan Herblax, InsyaAllah tak gemuk...hehe..

CONVERSATION

2 comments:

noor k mahmudah said...

Dendeng ni boleh simpan berapa lama ye..

Azlinda.I Ismail said...

Kalau biar kat luar, 2-3 hari macam tu, tapi elakkan guna sudu yang dah terkena tangan atau makanan lain ya.

Macam saya selalu buat, masuk bekas kecil dan simpan dalam freezer, boleh tahan 3 bulan macam tu. tak pernah simpan lebih dari 3 bulan sebab selalu rotate makanan dalam freezer