Tips Kenal Pokok Betik Jantan Dan Betina
Macam mana nak bezakan pokok betik betina dan jantan?
Eh ada pulak pokok yang jantan dan betina ya? Nak cek guna IC ke?
Nampak kelakar, tapi kedua-duanya menghasilkan buah yang berbeza. Kalau pokok betik betina, berbuah dan buah itulah yang kita makan.
Lain pula halnya pokok betik jantan. Berbunga banyak, kalau ada buah pun, macam buah rambai atau putik betik je. Jangan dibuang pula bunganya tu.
Bunga pokok betik jantan sedap kalau dibuat ulam atau kerabu. Celur sekejap dan cicah sambal belacan, fuh! Walaupun pahit sikit, tapi bagi penggemar ulam memang sedap rasanya.
RESIPI KERABU BUNGA BETIK
Resipi 1 - ni paling simple
Bunga betik (dicelur)
Taugeh (dicelur, Linda suka celur sekejap je sebab nak yang rangup-rangup)
Isi kerang (dicelur)
Bawang merah (dihiris halus)
Sedikit kelapa parut - sangai sekejap
Sambal belacan (boleh ganti dengan cili tumbuk dan belacan atau udang kering)
Gaul je semua di atas, rasa dia memang power!
Resipi 2 - ni otai selalu buat
*Bunga betik, putik betik
*5 helai pucuk duan betik
*1 biji jantung pisang
(Bahan * dicelur sampai lembut)
Air asam jawa secukupnya
Semangkuk kelapa parut
Gula dan garam secukupnya
Bahan-bahan tumbuk
5gm cekur
100gm ikan bilis (atau udang kering)
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Cili api (kalau mahu)
Tumis bahan tumbuk sehingga naik baunya.
Masukkan kelapa parut.
Masukkan air asam jawa, gula dan garam.
Masukkan bahan celur.
Dah siap!
Cara mengenal jantina pokok betik
Pokok betik jantan biasanya berbunga banyak, berjambak-jambak dan jauh dari pangkal dahan pokok. Apabila berputik, baru nak membesar selalunya akan gugur, menandakan buah tak menjadi.
Pokok betik betina pula, bunganya sekuntum sahaja. Tumbuh rapat pada pangkal dahan. Yang ni barulah berbuah ranum dan boleh dimakan buahnya.
Petua menyemai pokok betik
Tips ni bukanlah datang dari mana-mana pakar, rasanya tak ada pulak diperkukuhkan dengan mana-mana kajian sains. Cuma petua orang dulu-dulu selalu mengatakan, kalau nak semai pokok betik dari bijinya, pilihlah biji yang hitam pekat. Biji betik yang berwarna hitam pekat selalunya menghasilkan pokok betik betina. Manakala biji betik berwarna kelabu selalunya menghasilkan pokok betik jantan.
Wallahualam. Kita sekadar mencuba, kalau tak menjadi maka tebanglah dan tanam yang baru pula ya.